1.
Pada 11hb. Mei 2013, UMNO merayakan hari penubuhannya yang ke 63 dengan
sembahyang dan tahlil, ucapan bersemangat dari Presiden Najib Tun Razak
dan majlis makan malam. Tetapi UMNO pada 2013 ini bukanlah sama dengan
UMNO 1946.
2.
Pada 1946, pengasas UMNO yang berkumpul di Johor Baru bersemangat untuk
menyelamatkan bangsa Melayu dari kehilangan bangsa mereka, dari
kehilangan tanahair mereka, dari menjadi rakyat sebuah tanah jajahan
British dan hilangnya Melayu di dunia.
3.
Perjuangan pemimpin dan ahli pengasas UMNO pada masa itu ialah untuk
bangsa, agama dan tanahair. Tidak ada tujuan lain yang menggerakkan
mereka, sudah tentu tidak ada kepentingan diri atau niat untuk jadi
pembesar negara merdeka dengan upah yang lumayan.
4.
Oleh kerana itu mereka dihormati, dialu-alukan dan disokong oleh hampir
semua orang Melayu. Mereka adalah pejuang dan jaguh dan orang Melayu
datang berduyun-duyun untuk menyertai parti UMNO yang ditubuh oleh
mereka.
5.
Maka bersatulah Melayu, tanpa mengambilkira pangkat dan darjat, tanpa
mempedulikan berpelajaran Melayu, Inggeris atau agama. Mereka semua
Melayu samada dari negeri-negeri yang berlainan, dengan raja yang
berlainan, atau apa-apa lain yang membezakan mereka.
6.
Dan berbaris padat dan rapatlah mereka untuk perjuangan yang suci,
perjuangan untuk menyelamatkan bangsa mereka, agama mereka dan negara
mereka. Mereka tidak takut, tidak gentar dalam menghadapi kuasa besar
British.
7.
Dan berjayalah mereka dengan menewaskan Malayan Union, usul satu
penjajah terkemuka, satu dari pemenang perang besar dunia. Dan
terdirilah negara bangsa Melayu yang merdeka yang dikenali secara
rasminya Persekutuan Tanah Melayu. Nama Federation of Malaya ialah
terjemahan kepada Bahasa Inggeris dan dianggap oleh orang Melayu sebagai
bukan nama rasmi.
8.
Itulah UMNO enampuluh lebih tahun dahulu. Mereka disanjung, didukung
oleh semua yang berbangsa Melayu di negeri-negeri Melayu dan di
mana-mana ada orang Melayu.
9.
Tetapi tidak pada hari ini. Sekarang UMNO tidak lagi dipandang tinggi
dan tidak lagi disokong seperti dahulu. Sesungguhnya ramai orang Melayu
meluat dengan UMNO, anggapnya tidak lagi relevan dan perlu ditolak pun.
10.
Kenapa?. Kerana UMNO tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan
tanahair. UMNO ternampak dan memang pun benar, berjuang untuk
kepentingan orang-orang tertentu dalamnya dan ahlinya sahaja. UMNO
berjuang untuk jawatan dan pangkat, untuk memperkayakan diri, untuk sagu
hati, untuk poket sendiri.
11.
Untuk ini mereka berusaha mengurangkan kemungkinan diri mereka dicabar,
kurangkan kemungkinan diganti oleh sesiapa yang lebih layak. UMNO
adalah hak ahlinya, hak pemimpinnya yang sedia ada dan bukan hak orang
Melayu. Setelah mereka mendapat tempat jangan benar orang Melayu lain,
terutama yang memiliki kebolehan tertentu, menyertai UMNO. UMNO adalah
untuk pemimpin dan ahli semasa, dari ketua cawangan kepada ketua
bahagian. UMNO tidak perlu tambahan ahli, tidak perlu penyertaan sesiapa
lagi kerana ahli yang sedia ada perlu memelihara habuan mereka. Jika
terlalu banyak ahli, habuan perlu dikongsi. Dan habuan yang dikongsi
tentulah tidak sebanyak sebelum berkongsi.
12.
Apa itu perjuangan untuk bangsa, agama dan tanahair! Bukankah yang
sudah ada dalam UMNO, sebagai pemimpin atau ahli biasa terdiri dari
bangsa Melayu, yang beragama Islam. Perjuangan untuk diri mereka
bermakna perjuangan untuk bangsa mereka, bangsa Melayu, agama mereka,
agama Islam. Oleh itu perjuangan untuk bangsa, agama dan negara sedang
diteruskan, tanpa penyertaan Melayu lain.
13.
Kesannya ialah hari ini ahli tidak bertambah selaras dengan pertumbuhan
jumlah orang Melayu. Dan mereka terutama yang berkebolehan, yang
berbakat tidak dibenar masuk UMNO lagi.
14.
Yang boleh menyertai hanyalah yang kurang berkebolehan disbanding
dengan yang sudah ada. Oleh kerana penyertaan dalam UMNO mestilah
melalui cawangan, yang boleh masuk UMNO ialah yang kurang berkebolehan
dari ketua cawangan.
15.
Ketua cawangan manusia biasa yang boleh diserang penyakit, bahkan boleh
mati pun. Satu hari ketua cawangan terpaksa lepaskan jawatannya.
Penggantinya tentulah orang yang memiliki kebolehan yang kurang darinya.
Dengan itu kebolehan ketua cawangan akan merosot sepanjang masa, tiap
kali pengganti mengambil alih.
16.
Dan ini akan terjadi dalam keseluruhan parti. Semakin lama semakin
kurang pemimpin UMNO yang berbakat. Semakin lama semakin kurang ahli
yang berbakat dan layak untuk menjadi calon dalam PRU. Calon payung
terjun yang berbakat akan dikalahkan. Dengan itu pemimpin Kerajaan juga
akan terdiri dari yang tidak berkebolehan.
17. Di mana pergi mereka yang berbakat ini?. Mereka pergi ke mana mereka di terima, tentunya parti lawan.
18.
Melihat UMNO hanya berjuang untuk diri sendiri semata-mata, dan tidak
lagi untuk bangsa, agama dan tanahair, orang Melayu tidak lagi nampak
kenapa mereka harus sokong dan jayakan semasa PRU orang yang utamakan
kepentingan diri sendiri sahaja. Jika ada sahaja parti lain, mereka akan
sokong parti itu. Hanya jika parti lain lebih buruk baharulah sokongan
kepada UMNO diteruskan. Inilah yang berlaku pada PRU 13.
19.
Mungkin kita boleh tepuk belakang kerana UMNO masih menjadi parti yang
menang terbanyak dalan PRU 13. Tetapi ini bukan kerana orang Melayu
masih sokong UMNO. Sebenarnya kemenangan UMNO dalam PRU 13 disebabkan
mereka tidak ada pilihan. Mereka amat takut kalau-kalau Anwar Ibrahim
menang bersama dengan DAP. Akan hancurlah harapan orang Melayu sama
sekali. Seburuk-buruknya UMNO, ia masih berbau Melayu, masih lebih
mungkin memelihara kepentingan orang Melayu. Justeru itu tidak ada
pilihan bagi orang Melayu jika tidak sokong UMNO. Namun demikian dalam
PRU 14 UMNO tidak boleh harap keadaan ini berterusan. Jika UMNO tidak
bersihkan dirinya dari rasuah dan kepentingan diri, orang Melayu mungkin
mencari jaguh yang lain.
20.
Demikianlah riwayat dan sejarah sebuah parti politik yang lupakan
usul-asal dan sebabnya ia ditubuh. Demikianlah berakhirnya perjuangan
yang lari jauh dari matlamat asalnya. Dahulu lain, sekarang lain.
Sejarah dan kecapaian dahulu tidak akan meraih sokongan selama-lamanya.
Dahulu dahulu, sekarang sekarang. Hanya berharap kepada kata-kata hikmat
Hang Tuah, “Tak akan Melayu hilang di dunia” tidak mencukupi. Mungkin
Melayu tidak akan hilang di dunia, tetapi apakah jenis Melayu yang tidak
hilang ini. Apakah mereka terdiri dari pencuci kasut, pemandu kereta,
kuli yang terbongkok-bongkok menyembah bangsa lain yang menjadi Tuan
mereka. Dan apakah nasib UMNO? Ia akan jadi cerita dongeng dalam buku
kanak-kanak dizaman akan datang.
21.
Inilah masa depan yang menunggu UMNO. Inilah masa depan sebuah parti
yang cemerlang tetapi sudah hilang kegemilangannya. Inilah masa depan
bagi yang tidak mahu sedar dan tidak mahu membetulkan diri.
22.
Kata seorang penulis sajak di zaman dulu, “tidak ada yang lebih
menyayat hati dari melihat bangsa ku dihina dan ditindas oleh orang”.
Betol cakap Tun bahawa orang melayu sebenarnya hanya risaukan Anwar dan DAP memerintah negara ini selepas PRU13, kerana itu undi UMNO meningkat kali ini. Kalau ikutkan sakit hati apa yang Najib buat untuk bodek undi Cina, memang kebanyakan melayu tak nak keluar mengundi pun.
Adakah Najib ambil peduli nasihat Tun M dan Tun Daim serta rakyat marhaen seperti kami ini? atau Najib terus lena dibuai mimpi di kayangan dek penasihat-penasihat sekeliling beliau?